? ??????????????Cobalt Flowers? ????? ?? ???Rating: 4.9 (8 Ratings)??72 Grabs Today. 16541 Total Grabs. ??
????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ?????Vibrant Swirls? ????? ?? ???Rating: 4.6 (61 Ratings)??68 Grabs Today. 17608 Total Grabs. ??????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ???????Soul Bl BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, July 2, 2009

Reflection # 1

Aku sudah mempunyai diploma dan aku juga turut mempunyai ijazah. Kedua-duanya adalah di dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan sekarang aku sedang mengikuti kursus Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) selama setahun. Ini bermakna sudah hampir 10 tahun aku memenuhi waktu hayatku dengan menimba ilmu di peringkat pengajian tinggi sebagai tiket untuk mendapatkan pekerjaan yang sebaiknya. Namun, sepanjang 10 tahun ini permasalahan ini tetap aku tidak dapat atasi sepenuhnya dan masih menghantui diriku sebagai pelajar. Aku percaya ianya turut dialami oleh kebanyakan pelajar lain dan menjadi masalah utama kepada mereka setiap kali mereka dikehendaki melakukan tugasan ini. Masalah tersebut ialah aku fobia serta takut untuk membuat pembentangan di hadapan ramai atau kebiasannya disebut sebagai “presentation”. Setiap kali aku diarahkan oleh pensyarah untuk membuat pembentangan aku merasakan ianya sebagai satu tugasan yang berat dan umpama satu beban bagiku. Kebiasaannya sebelum dan semasa pembentangan aku akan mengalami seribu satu perasaan yang menghantui diriku. Aku akan berasa kesejukkan (freezing), hatiku berdebar-debar serta cemas dan selepas pembentangan hatiku akan berasa lega bagai terlepas dari satu himpitan batu besar yang menghempap diriku. Walaupun sudah lebih daripada sepuluh kali aku membuat pembentangan, tetapi perasaan sama tetap juga aku alami.
Aku begitu fobia dengan “presentation” kerana kurangnya daya keyakinan dalam diriku. Seringkali aku tertanya pada diriku sendiri, apakah reaksi penonton apabila mendengar aku menyampaikan isi pembentangan aku. Adakah mereka akan teruja untuk mendengar ataupun adakah mereka akan berasa bosan? Dari pengalaman aku sebelum ini terdapat beberapa kali dalam sesi pembentangan aku, sesetengah penonton tidak memberi perhatian sepenuhnya. Ada di antara mereka berbual sesama sendiri, melelapkan mata, membuat hal sendiri dan tidak kurang juga ada suara sumbang yang mempersendakan isi pembentangan aku dan mereka akan ketawa sesama sendiri jika terdapat perkara yang mencuit hati mereka. Pengalaman sebeginilah yang sedikit demi sedikit mengikis keyakinanku untuk ke hadapan membuat pembentangan sebaiknya.
Perasaan malu yang sukar dikikis turut menjadi penyebab kepada permasalahan ini. Perasaan malu ini memang sifat semulajadi aku sejak daripada bangku sekolah lagi tetapi ianya mula berkurangan apabila aku mula menginjak dewasa dan matang. Tetapi ianya tetap hadir dalam diri tambahan pula aku adalah seorang yang pendiam. Malu akan menyebabkan secara automatiknya muka aku bertukar menjadi merah dan menyebabkan aku menghadapi masalah ”eye contact” keranaa aku lebih suka menghadap ke arah papan layar yang mempamerkan ”slide” persembahan aku daripada memandang ke arah penonton. Itulah situasi yang terpaksa aku lalui apabila adanya pembentangan. Aku malu kerana penampilan diriku tidak sebaik dan berkeyakinan tinggi seperti orang lain. Sewaktu aku mengarang penulisan ini, rancangan program realiti iaitu One In A Million (akhir) sedang ditayangkan. Terdetik dihatiku bagaimana mereka yang menyertai rancangan ini begitu yakin di pentas dan tidak langsung kelihatan mereka berasa cemas serta malu membuat persembahan di khayalak ramai. Betapa aku mengagumi mereka. Dalam mengagumi, aku mula tersedar bahawa apabila kita berkeyakinan, perasaan malu akan dapat diatasi. Ini dapat disaksikan daripada persembahan mereka yang mereka tonjolkan. Keadaan ini akan cuba memotivasikan diriku supaya lebih berkeyakinan semasa melakukan sesuatu pembentangan.
Keadaan lain yang membuatkan aku begitu fobia dengan ”presentation” ialah aku tidak begitu menguasai kandungan ilmu (content knowledge) sesuatu tajuk pembentangan itu. Ini menyebabkan aku takut jika terdapat orang yang bertanyakan soalan semasa sesi pembentangan dan aku gagal menjawabnya dengan sempurna. Kadang-kala jawapan aku tidak menepati soalan yang ditanya. Ini akan menambahkan lagi perasaan cemasku. Selain itu, tabiat percakapan aku yang agak laju menyebabkan timbulnya gangguan terhadap kelancaran pembentangan aku yang membuatkan penonton tidak sempat menangkap isi yang cuba aku sampaikan. Retetan daripada keadaan ini, aku penah ditegur oleh pensyarahku di mana beliau mengatakan,”Azah, please reduce your mumbling and speak with a slower speed”. Kebiasaannya, aku juga gagal menyebut (pronounce) sesuatu perkataan dengan betul walaupun ianya merupakan perkataan yang senang dan biasa disebut. Aku pun tidak tahu mengapa situasi begini terjadi, padahal jika bukan dalam situasi pembentangan ianya boleh disebut dengan lancar dan mudah sekali dan ini juga antara alasan mengapa aku tidak selesa untuk melakukan ”presentation”.
Penyebab lain ialah pembentangan aku tidak selancar seperti orang lain kerana aku begitu banyak menyebut ”aa...aa....aa...”. Aku gagal menjadi seorang ”presenter” yang baik kerana permasalahan ini. Ianya terjadi mungkin kerana aku tidak berapa fasih bercakap dalam Bahasa Inggeris. Misalnya, semasa pembentangan, aku cuba menterjemahkan sesuatu ayat itu dari Bahasa Melayu ke dalam Bahasa Inggeris dalam mindaku dan inilah yang menyebabkan timbulnya ”aa...aa....aa...” tersebut. Ketidakfasihan bercakap dalam Bahasa Inggeris juga menyebabkan aku lebih gemar membaca apa yang tercatat dalam ”slide” persembahan aku. Oleh itu, kuranglah sedikit untuk aku membina ayat dalam Bahasa Inggeris secara spontan. Tetapi cara ini tidak digalakkan kerana dengan hanya membaca ”slide” ianya akan membuatkan penonton merasa bosan.
Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Justeru, aku cuba untuk mengenalpasti cara terbaik untuk mengatasi masalah ini dan mengambil tindakan ke atasnya. Ini kerana sekarang aku mula menyedari bahawa kemampuan untuk melakukan ”presentation” dengan penuh keyakinan merupakan elemen terpenting untuk menjadi seorang guru. Cara guru menyampaikan ilmu akan mempengaruhi minat seseorang pelajar untuk belajar dengan tekun. Pertama sekali aku akan tanamkan keyakinan dalam diriku. Dalam artikel yang kubaca tentang cara untuk tangani perasaan cemas dan takut semasa membuat pembentangan ialah dengan senyuman (always to smile). Ya, aku setuju dengan pendapat tersebut kerana bagi aku jika aku memulakan sesuatu pembentangan dengan senyuman, penonton akan lebih tertarik untuk mendengar penyampaian aku disebabkan mereka nampak keikhlasan aku untuk menyampaikan pembentangan. Ini akan menambahkan tahap keyakinan aku sebagai pembentang (presenter) apabila aku melihat penonton teruja untuk mendengar.
Selain itu, aku akan memperbaiki penguasaan Bahasa Inggerisku dengan memilih untuk membaca surat khabar dalam bahasa tersebut seperti The Star serta lebih mengutamakan untuk membaca novel berbahasa Inggeris berbanding Bahasa Melayu walaupun aku perlu menyelak kamus selang dua minit sekali untuk mencari makna sesuatu perkataan. Sekurang-kurangnya melalui cara ini aku akan dapat mempelajari perkataan baru yang tidak pernah aku tahu maksudnya sebelum ini. Dengan mendengar radio bersiaran Inggeris juga dapat membantu aku mempertingkatkan lagi penggunaan serta penyusunan ayat dengan lebih teratur dan cara ini aku telah mempraktikkan sejak tiga tahun lalu lagi. Aku juga akan cuba untuk berbual sesama rakanku dalam Bahasa Inggeris untuk meningkatkan kelancaran percakapan aku kerana apabila ianya sudah menjadi kebiasaan, jadi tidak akan timbul gangguan percakapan semasa pembentangan. Ini juga salah satu cara yang dapat mepertingkatkan tahap keyakinanku.
Bagi mengurangkan perasaan malu, perkara yang harus aku lakukan adalah dengan banyakkan bergaul dengan orang ramai dan cuba menjadi seorang yang peramah daripada seorang yang pendiam. Ini kerana pergaulan dapat mempertingkatkan kemahiran komunikasi serta keberanian seseorang. Selain itu, aku akan cuba untuk bersifat aktif di dalam kelas dengan memberi respons setiap pertanyaan daripada pensyarah. Sebelum ”presentation”, aku akan membuat beberapa kali latihan sebagai persediaan dan memperkukuhkan lagi cara penyampaian aku. Dengan membuat persediaan ianya akan dapat menghilangkan sedikit perasaan gabra aku semasa ”presentation” yang sebenar kerana telah membiasakan diri dengannya. Mungkin aku boleh berlatih di hadapan rakan-rakan aku dan dari sini aku boleh membaiki sama ada cara penyampaian atau isi pembentangan aku daripada maklum balas komen mereka. Terdapat teori yang mengatakan bahawa cara terbaik untuk mengukuhkan kemahiran ”presentation ” adalah dengan mengulang perkara yang hendak disampaikan beberapa kali. Di samping itu, aku harus mendalami perkara yang hendak disampaikan itu secara terperinci supaya aku dapat menguasai sepenuhnya tajuk tersebut dan jika penonton mengajukan sebarang soalan aku dapat menjawabnya dengan yakin.
Aku harap aku dapat mempraktikkan langkah-langkah yang telah aku kenal pasti seperti yang disenaraikan di atas bagi mengurangkan perasaan takut aku untuk membuat pembentangan. Terdapat teori yang mengatakan bahawa pembentang yang baik adalah bermula daripada pembentang yang lemah dan lama kelamaan mereka akan menjadi lebih baik.

0 comments: