? ??????????????Cobalt Flowers? ????? ?? ???Rating: 4.9 (8 Ratings)??72 Grabs Today. 16541 Total Grabs. ??
????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ?????Vibrant Swirls? ????? ?? ???Rating: 4.6 (61 Ratings)??68 Grabs Today. 17608 Total Grabs. ??????Preview?? | ??Get the Code?? ?? ???????Soul Bl BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS ?

Thursday, July 2, 2009

Reflection # 3

Akhirnya dapat jua aku meluangkan masa untuk menulis refleksi bagi macroteaching yang lalu. Walaupun sudah 2 minggu aku melakukan macroteaching iaitu pada 15 Jun 2009, tetapi baru hari ini aku berkesempatan membuat refleksinya memandangkan begitu banyak “assignment” yang perlu disiapkan dan kebetulan kesemuanya perlu dihantar pada minggu yang sama. Kesibukan bertambah apabila terdapat juga beberapa tugasan yang memerlukan “presentation”.
Pada sesi macroteaching yang lalu, aku telah mengajar mengenai litar sesiri dan selari (series and parallel circuit) dan bagiku ianya tidak begitu susah untuk diajar memandangkan sebelum ini aku telah mengikuti kursus Kejuruteraan Elektrik semasa pengajian ijazahku. Tetapi untuk membuatkan pembelajaran itu sebagai “inquiry lesson” dan megelakkan daripada banyak penerangan ianya agak sukar bagiku. Agak lama juga aku memikirkan cara untuk mewujudkan pengajaran yang berbentuk “inquiry lesson”. Mungkin kerana ini adalah kali pertama dan tidak ada pengalaman lagi untuk membuat rancangan mengajar “inquiry lesson”. Akhirnya, selepas aku mengajar pada hari tersebut, Dr Razak yang membuat pernilaian ke atas diriku menyatakan pengajaranku mempunyai ciri-ciri “inquiry lesson”. Lega rasanya hatiku apabila mendengar ucapan dari Dr Razak itu. Selepas ini apabila aku mula mengajar di sekolah, InsyAllah tidak akan ada masalah untuk aku mempratikkan “inquiry lesson” ini selepas mendapat bimbingan dari Dr Nurul serta selepas aku melalui pengalaman macroteaching ini.
Walaupun Dr Razak agak berpuas hati (impressed) dengan pengajaran aku semasa macroteaching itu, tetapi bagiku masih terdapat banyak kelemahan dan perkara yang perlu diperbaiki. Yang pasti masalah utama aku dalam macroteaching kali ini ialah aku tidak dapat mewujudkan suasana kelas yang menarik supaya pelajar dapat merasai keseronokkan belajar (enjoyable) apabila mereka berada dalam kelasku. Daripada rakaman video macroteaching baru aku sedari bahawa “expressions” mukaku serius sahaja semasa mengajar dan intonasi suaraku pula mendatar dan tidak pelbagai. Tiada langsung diselitkan humor bagi menggembirakan pelajar. Mengikut teori penyelidik pendidikan, humor merupakan salah satu teknik pengajaran yang boleh mewujudkan suasana p & p yang seronok bagi memotivasikan pelajar untuk belajar.
Perasaan malu menjadi penyebab kepada permasalahan ini. Malu menyebabkan aku menjadi serius semasa mengajar dan agak sukar bagiku untuk berkelakuan sahaja serta tidak mesra dengan pelajar. Aku malu untuk berinteraksi dengan intonasi yang berbeza seperti yang dilakukan oleh rakan kelasku iaitu Azlan dan Razi. Aku begitu kagum dengan mereka berdua kerana mereka pandai membuat jenaka yang bersahaja dan mereka penuh bertenaga semasa mengajar yang mana dapat melahirkan semangat pelajar untuk belajar. Cara mereka dapat menarik perhatian pelajar dari mula sehingga akhir pengajaran cukup memberi kesan yang positif kepadaku. Tuan Haji Azman ada mengingatkan kami supaya membuang perasaan malu yang ada pada diri kami supaya kami boleh menunjukkan ekspresi wajah serta menggunakan intonasi yang berbeza semasa proses p & p terutamanya semasa proses menyoal seperti ekspresi dan intonasi semasa berbual dengan rakan-rakan. Oleh itu, pengajaran yang berbentuk interaktif itu akan menjadi lebih “hidup” dan menarik, tidaklah pelajar mengalami suasana bosan kerana guru tidak pelbagaikan nada suaranya. Nasihat beliau membuatkan aku menyedari bahawa malu akan menyekat segalanya dan aku akan gagal mewujudkan kelas yang “happening” jika aku terus bersikap malu.
Selain malu, penghalang seterusnya adalah penggunaan bahasa. Masalah untuk berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris dengan fasih membuatkan aku terbatas untuk mewujudkan daya penarik dalam kelas. Misalnya, aku tidak tahu bagaimana untuk berjenaka dalam Bahasa Inggeris. Itulah yang diperkatakan oleh Tuan Haji Azman pada minggu lalu di mana masalah komunikasi membuatkan kami terbatas untuk melakukan yang terbaik. Oleh kerana tidak begitu fasih berbahasa Inggeris, jadi aku telah menyediakan skrip mengenai perkara yang akan aku katakan dalam pengajaranku supaya aku tidak “clueless” semasa mengajar. Disebabkan terlalu mengikut skrip, jadi aku tidak mampu untuk berkelakuan secara spontan dengan pelajar seperti berjenaka. Aku terus sahaja dengan perancanganku tanpa belok sedikit pun ke arah lain.
Perasaan gugup ( nervous) juga menjadi punca permasalahan aku ini. Apabila perasaan ini menyelubungiku, mulalah aku menjadi “blur” dan minda pun beku untuk berfikir. Berada di hadapan kelas membuatkan aku kaku untuk bertindak dan berfikir secara “out of box”. Oleh itu, ianya menghalangku untuk beinteraksi secara spontan dan bersahaja dengan pelajar.
Bagi mewujudkan suasana kelas yang menarik, maka aku telah mengenalpasti beberapa jalan penyelesaian untuk masalah aku ini. Bagi mengatasi masalah malu dan gugup, aku akan berusaha untuk menyingkirkannya dengan bersikap lebih mesra dengan orang ramai dan cuba untuk bergaul dengan ramai orang. Ini kerana pergaulan dapat mempertingkatkan kemahiran komunikasi serta keberanian seseorang. Mungkin dengan cara ini, kelak akan dapat melatih aku menjadi mudah mesra dan seorang yang “ happy go lucky” sekaligus ianya dapat membuang perasaan gugupku itu. Selepas menjalani latihan mengajar ini, kini barulah aku sedari bahawa perasaan malu tidak seharusnya ada pada seorang guru supaya pengajaran akan menjadi lebih spontan dan tampak natural serta tidak akan membataskan tindakan seseorang guru itu. Selain itu, aku akan cuba untuk berlatih bercakap di hadapan cermin kerana melalui cermin aku akan dapat mereflek serta melihat sendiri kekurangan yang ada dalam gaya pengajaran dan komunikasi. Selain itu, aku akan memperbaiki percakapan aku dalam Bahasa Inggeris dengan cuba selitkan perkataan serta dialog Bahasa Inggeris dalam percakapan seharian aku. Aku rasa dengan sentiasa mendengar coleteh dari penyampai radio dan pengacara rancangan temubual yang berbahasa Inggeris akan dapat membantu aku mengatasi masalah ini kerana ayat yang diperkatakan itu akan terlekat di mindaku.
Akhir sekali, aku akan melihat rakaman video yang menunjukkan teknik serta gaya pengajaran guru senior yang dapat mewujudkan suasana yang menarik semasa proses pengajaran dan pembelajaran sebagai rujukan kepadaku. Aku akan memerhatikan cara mereka menyoal pelajar serta intonasi suara mereka yang dapat menghidupkan suasana pembelajaran menjadi “segar” dan bukannya sepi serta membosankan pelajar. Mungkin aku boleh dapatkan video ini dari internet mahupun sumber lain. Gaya pengajaran Dr Nurul sendiri akan aku jadikan rujukan untukku kerana nada suara yang lantang serta semangat beliau semasa mengajar kami memotivasikan diriku untuk belajar. Apa yang aku perhatikan sepanjang sesi macroteaching berjalan, pelajar akan lebih teruja untuk belajar jika guru tersebut mempunyai suara yang kuat serta mengajar penuh berdedikasi dan semangat.
Aku berharap selepas beberapa kali mengajar kelak aku akan dapat mewujudkan suasana kelas yang menarik (enjoyable) untuk memotivasikan pelajar untuk belajar. Dari semasa ke semasa aku akan cuba memperbaiki gaya pengajaran aku bagi tujuan ini kerana aku amat percaya pada dua pepatah ini; “belajar melalui pengalaman” dan “practices make perfect”.

0 comments: